Islam Datang Memuliakan Wanita
Kerapkali disalahertikan oleh sesetengah golongan tentang kedudukan wanita di dalam Islam hingga menimbulkan isu-isu yang kontroversi. Sedangkan Islam telah memberi wanita kedudukan yang paling mulia berbanding bangsa dan agama lain. Ini dapat kita rujuk perbandingan wanita-wanita semasa ‘tamadun’ Greek, Romawi, Yahudi dan Barat.
Tamadun Greek dianggap satu tahap tamadun yang membanggakan. Tetapi menurut Prof. Dr. Mustafa Assibaie wanita pada ketika itu dikurung di dalam rumah dengan tidak diberi peluang untuk belajar malah dihina dan dianggap khadam yang najis.
Tamadun Greek dianggap satu tahap tamadun yang membanggakan. Tetapi menurut Prof. Dr. Mustafa Assibaie wanita pada ketika itu dikurung di dalam rumah dengan tidak diberi peluang untuk belajar malah dihina dan dianggap khadam yang najis.
Wanita juga boleh dijual beli seperti barang dagangan. Tidak mempunyai apa-apa hak melainkan makan minum, tempat tinggal dan pakaian. Di kemuncak ‘tamadun’ Greek, wanita menjadi alat memuaskan nafsu lelaki, model-model bogel dipopularkan yang akhirnya tamadun Greek runtuh.
Wanita Rome adalah lebih menyedihkan. Prof. Dr. Ali Abdul Wahid Wafi menjelaskan di dalam kitabnya bahawa bapa, datuk atau sebagainya yang diistilahkan sebagai ‘PeterFamilies’ mengongkong wanita di bawah kekuasaan dan penjagaannya dimasa muda remaja mereka. PeterFamilies mempunyai kuasa tidak terhad termasuk menghalau dan menjual mereka. Sesudah berkahwin pula menurut V. Girad dalam bukunya ‘Droit Romain’ wanita berubah milik dari bapanya kepada suaminya sekaligus terputus hubungan dengan keluarganya yang asal. Manakala suami mempunyai hak yang sama seperti ‘PeterFamilies’. Walaupun hak mereka pernah dibela dalam Undang-undang Dua Belas dan Undang-undang Justinian tetapi ianya hanya meliputi beberapa hal sahaja.
Dalam agama Yahudi membolehkan seorang bapa menjual anak perempuannya. Wanita Yahudi yang sudah mempunyai suami pula tidak boleh mengadu kepada orang lain seandainya suami mengadakan hubungan sulit dengan perempuan lain di dalam rumah mereka. Seorang isteri pula diibaratkan sebagai seketul daging yang boleh dibeli di pasar dan dinikmati sama ada dengan merendam, membakar atau apa sahaja malah hingga boleh melemparinya. Mereka juga tidak mempunyai hak dalam soal harta pusaka.
Undang-undang Inggeris sehingga tahun 1805 mengharuskan seorang suami menjual isterinya dengan harga paling minima 6 pence. Begitu juga zaman kebangkitan Perancis mengharamkan penindasan sesama manusia tetapi tidak kepada wanita. Wanita sebaliknya tidak layak mendapat hak sivil sepenuhnya. Samalah juga dalam soal harta, mereka tidak mempunyai hak sedikitpun. Nama keluarga mereka juga ‘dihilangkan’ apabila mereka berkahwin dengan meletakkan nama suami mereka; Mrs…(nama suami).
Dengan terutusnya Rasulullah S.A.W lah yang telah memperbaiki segala kepincangan sekaligus menempatkan wanita ke taraf yang wajar. Islam membuktikan persamaan taraf wanita dengan lelaki disisi Allah. Perbezaan hanyalah dijelaskan dengan ayat Firman Allah:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan dijadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Al-Hujurat:13)
Di dalam beberapa hal Islam meletakkan wanita khususnya kaum ibu lebih mulia dari kaum bapa. Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu bertanya:
“Siapakah ya Rasulullah yang paling berhak untuk saya dampingi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Hingga bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Kemudian bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Baru diberi jawapan oleh Rasulullah: “Bapamu, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.” (Hadis)
“Siapakah ya Rasulullah yang paling berhak untuk saya dampingi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Hingga bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Jawab Rasulullah: “Ibumu.”
Kemudian bertanya lagi lelaki itu: “Kemudian siapa lagi?”
Baru diberi jawapan oleh Rasulullah: “Bapamu, syurga itu di bawah telapak kaki ibu.” (Hadis)
Begitu juga dalam amal ibadat, amal bakti dihitung mengikut tenaga usahanya.
“Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain.” (Ali-Imran:195)
Islam telah memberikan hak sivil kepada wanita sesuai dengan tabiat semulajadinya sebagai wanita dan telah meletakkan hak-hak itu ditempatnya yang betul. Perempuan yang telah sampai umur ‘baligh’ berhak ke atas dirinya di dalam segala hal sivil pada umumnya. Perkahwinan juga boleh menurut kemahuannya malah menurut mazhab Shafie berhak membubarkan perkahwinan melalui kadi jika dikahwinkan dengan orang yang tidak setara dengannya. Mereka juga tidak putus hubungan dengan keluarga asal mereka. Wanita Islam juga berhak dalam perkara harta dan urusan yang bersangkutan dengannya.
Hakikat perbezaan antara lelaki dan perempuan terlebih dahulu disedarkan oleh kedatangan Islam. Kerana dalam soal-soal tertentu memerlukan pengkhususan yang mana sifat lelaki memerlukan mereka supaya menjadi lelaki yang sebenar. Dan wanita hendaklah menjaga keistimewaannya agar terjamin kewanitaannya yang sebenar. Kerana umum kita ketahui kejadian kedua-duanya berbeza dari segi fizikal, tenaga, emosi dan sebagainya. Dengan perbezaan-perbezaan yang menjadi realiti itu masing-masing jenis memainkan peranan dan tanggungjawab yang berlainan dan tersendiri sesuai dengan sifat semulajadinya.
Tetapi hari ini sebagaimana berlaku dibarat wanita-wanita menuntut persamaan hak. Tanpa mereka sedari akhirnya wanita dieksploitasi misalnya dalam bidang ekonomi perindustrian; apabila ramainya wanita tenaga mereka ‘diperah’ dengan gaji yang jauh berbeza dari kaum lelaki. Malah tidak sedikit mereka yang ditentukan ke bidang-bidang pekerjaan yang memperdagangkan rupa paras dan tubuh mereka.
Lebih malang keadaan ini mendorong kepada wujudnya pertandingan memilih ratu; ratu cantik, ratu sanggul, ratu akhbar dan majalah, ratu fesyen, ratu siswi, ratu sukan, ratu rock, dan banyak lagi. Jika ini berterusan ia menjadi petanda kepada keruntuhan masyarakat sebagaimana sejarah yang membuktikan kepada kita runtuhnya Empayar Romawi kerana wanita.
Dan sepatutnya di dalam warga dunia yang dikatakan maju, bertamadun, intelek ini tidak sepatutnya wujud perbuatan-perbuatan yang boleh mengaibkan kaum wanita termasuk pencerobohan kediaman dan harta benda yang menjadi hak mereka.
Wallahu’alam.
0 comments:
Catat Ulasan